Bekas bintang Gegar Vaganza 2 (GV 2), Ezad Lazim mengakui tidak dapat pulang ke Kedah untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini.

Menurut Ezad, tahun ini dia akan beraya bersama isterinya, Nor Azeana Ramli di Kuala Lumpur.

"Tahun ini merupakan giliran isteri jadi kami mengambil keputusan untuk beraya di Kuala Lumpur memandangkan ibu mertua saya sudah pindah di sini.

"Kalau tidak memang setiap tahun kami akan balik ke Kedah sebab kampung isteri pun di Kedah.

"Jadi ini merupakan pengalaman baru bagi saya dan isteri untuk beraya di Kuala Lumpur.

"Jika tidak ada apa-apa halangan mungkin selepas beberapa hari baru kami akan pulang ke Kedah untuk melawat sanak saudara yang lain," katanya kepada Astro Gempak.

Ezad berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Rusa Music & MVM Production di Hotel Royal, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram