Penyanyi Erema berhasrat kembali semula tetapi masih mencari 'material' sesuai untuk dijadikan single.

Pernah popular menerusi lagu Pelita Di Bawah Purnama, Erema mahu lebih fokus dalam pemilihan lagu yang sesuai.

"Memang perancangan nak buat single sudah lama. Cuma, masa tidak merestui lagi. Lagipun, kalau nak buat single, saya kena pastikan apa yang saya mahu dari segi muzik," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, dia masih meminati genre balada tetapi ketika ini jiwanya lebih kepada Modern Beats’ dan R&B Soul.

"Belum ada lagi komposer pilihan tetapi saya mahu bekerja dengan komposer baru yang terbuka dengan kehendak artis dan paling penting kreatif dari segi pembaharuan muzik," katanya.

Selain mencari lagu yang sesuai, Erema memberitahu dia masih aktif mengadakan persembahan pentas.

Melihat pasaran muzik ketika ini yang suram, Erema turut terbabit dalam bisnes sendiri menerusi @bydayangku (Instagram) yang menjual cermin mata pelbagai bentuk yang unik.

"Secara jujurnya, saya selalu terfikir yang peminat sudah lupa siapa Erema sebab ramai artis baru sekarang ini tidak kurang hebatnya.

"Tapi saya percaya, mungkin ada yang masih menerima Erema sekiranya saya buat 'comeback'," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: @bydayangku