Penyanyi Mawi dan Anas Tahir kembali berkolaborasi menerusi lagu terbaru sempena Aidilfitri yang dihasilkan secara spontan.

Anas memberitahu idea menghasilkan lagu berkenaan tercetus secara spontan ketika dia bersama Mawi berada di dalam konti stesen radio Zayan.

"Ketika itu kami memang tidak merancang untuk mencipta lagu raya cuma ia dihasilkan secara spontan sambil produser kami, Shamsul Qamar bermain gitar.

"Selepas kami merakam lagu itu menerusi telefon pintar, kami berikan pada Oja untuk proses susunan melodinya," katanya kepada Astro Gempak.

Belanja sikit... Lagu raya spontan yg masih belum ada tajuk. Korang rasa tajuk apa yang best ek??? Komen tau kat bawah ? . . . KOMPOSER : MAWI,ANAS TAHIR & SHAMSUL QAMAR LIRIK SPONTAN : MAWI & ANAS TAHIR SUSUNAN MUZIK : OJA . . . #LaguRayaBelumAdaTajuk #TolongBagiTajuk #SalamBros #Zayan #IndahDiHati #ComingSoon @oja_tunable @anastahir_zayan @zayan.my @shamsulq163

A post shared by MAWI @ZAYAN.MY (@cahayaasmawi) on


Jelasnya, dia menyukai lagu tersebut selepas mendengar semula susunan lagunya.

"Cerita lagu raya kami ini lebih kepada puasa enam pada bulan Syawal. Secara peribadi, saya tidak sangka apabila kami dapat merakam lagu ini di studio," katanya.

Gandingan dua penyampai Zayan ini pernah menghasilkan lagu untuk Ramadan sebelum ini berjudul Indah Bersama yang turut disertai Raqib.

Bagi Mawi, definisi lagu yang bagus adalah lagu yang sedap didengar peminat.

"Lagu kami ini masih belum ada tajuk tapi menariknya, ia spontan dari aspek melodi dan lirik," katanya.

Sebagai penyanyi, dia mahu peminat dan pendengar Zayan terhibur mendengar lagu tersebut.

"Jika seseorang penyanyi itu 'enjoy' dengan lagunya, insha Allah pendengar juga akan berkongsi rasa yang sama," katanya.

Sebagai kelainan, Mawi memberitahu lagu ini menampilkan lirik dalam dialog percakapan seharian secara santai dan mudah difahami pendengar.

Teks oleh: Elrafaei Sapi