Pelakon Puteri Aishah terpaksa menahan gatal seluruh badan apabila terpaksa menyarung kostum silikon berpuluh jam demi menjayakan watak wanita bertubuh gempal.

Malah, pelakon itu mendedahkan dia mengambil masa lebih 3 jam untuk disolek dan ditampal silikon di bawah dagu untuk merealisasikan karakter untuk drama bersiri Terima Aku Seadanya itu.

"Saya menjayakan watak seorang wanita seberat 90 kilogram untuk drama terbaharu Terima Aku Seadanya.

"Selain menyarung kostum silikon, saya juga perlu sarung baju tebal seperti jaket musim sejuk untuk menambah jisim badan.

"Bayangkan saya perlu memakai pakaian tebal dan silikon selama lebih 12 jam, pastinya badan pun gatal-gatal dan melecet terutama di bawah dagu," katanya.

Rutin Puteri Aishah, dia akan ke set penggambaran seawal puku 6 pagi setiap hari sepanjang bulan Ramadan bagi mengelakkan kesesakan jalan raya walaupun penggambaran bermula sekitar 11 pagi.

"Penat memang penat tetapi drama ini menguji kemampuan saya sebenarnya dan saya puas!" tambahnya.

Terima Aku Seadanya turut dilakonkan oleh Nazim Othman dan akan ditayankan selepas Aidilfitri.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @puteriaishah_